Roland Sagah merasmikan Pusat Kaunseling Pendidikan Universiti dan Kolej Antarabangsa INTI di Gala City, Jalan Tun Jugah, hari ini — Alif Noni

KUCHING: Sarawak telah berjaya melahirkan lebih dari 10,000 siswazah Ijazah Sarjana Muda dan Diploma pada tahun 2022, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Menurutnya, usaha Kerajaan Sarawak menerusi kementeriannya untuk melahirkan lebih banyak graduan ini selaras dengan apa yang diperlukan oleh industri pada masa kini.

“Oleh itu, kita masih sasarkan supaya satu keluarga harus mempunyai sekurang-kurangnya satu graduan seperti aspirasi kita iaitu ”Satu Graduan, Satu Keluarga’ bagi mengisi keperluan negara pada masa akan datang.

“Kalau boleh, kita mahu dalam sebuah keluarga itu, semua boleh mencapai kejayaan mereka untuk bergelar graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Kaunseling Pendidikan Universiti dan Kolej Antarabangsa INTI di Gala City, Jalan Tun Jugah, hari ini.

Tambah Sagah yang juga Adun Tarat, selain melahirkan graduan dari diploma dan ijazah, kementeriannya juga komited untuk melahirkan graduan dari segi bidang teknikal.

Katanya, berdasarkan pembangunan semasa yang dilaksanakan oleh negara dan industri kita, kebanyakan adalah berkaitan dengan kerja-kerja teknikal.

“Sebagai contoh di Samajaya, terdapat banyak kilang dan industri bakal dibuka…jadi kita mahu graduan ini untuk menjadi bukan sahaja operator tetapi juruteknik dalam industri ini.

“Kita perlu memiliki graduan yang menjawat jawatan sebegini kerana saya tidak mahu kalau saya ada syarikat datang dari luar mereka bawa orang mereka sendiri (warga asing). Sebab itu kita nak orang kita sendiri bekerja di negeri mereka sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu kata Sagah, ini merupakan salah satu cabaran kepada Sarawak pada masa sekarang, justeru kerajaan Sarawak menggalakkan supaya lebih banyak anak Sarawak mengambil kursus kemahiran dan teknikal.

“Sijil kemahiran mahupun sijil teknikal kini lebih diiktiraf di seluruh dunia dan kalau dibuat perbandingan, kadang-kadang mereka yang mempunyai kemahiran mempunyai gaji yang lebih besar.

“Oleh itu kita kena ubah pemikiran kita termasuk pemikiran ibu bapa dan masyarakat di luar bandar untuk melihat kepada kursus kemahiran dan teknikal ini. Pemikiran ini perlu kita ubah,” ujarnya.

Suara Sarawak