BINTULU : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menempatkan pegawainya yang mahir dalam bahasa Mandarin di semua lapangan terbang antarabangsa di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu ini akan membantu memastikan kelancaran operasi di pintu masuk negara, terutamanya melibatkan pengembara dari China yang mungkin kurang mahir dalam bahasa Inggeris dan tidak memahami Bahasa Malaysia.

Beliau berkata, MOTAC akan menyelaraskan dengan pengurusan lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

DATUK SERI TIONG KING SING

“China telah menutup sempadannya selama lebih tiga tahun. Ekoran itu, sebilangan besar pelancong dari China dijangka memasuki negara kita untuk melancong.

“Bagi menerima dan mengalu-alukan kedatangan pelancong China dengan lebih baik, Motac mencadangkan untuk menyediakan laluan mudah di lapangan terbang antarabangsa.

“Ini bukan sahaja untuk memastikan kelancaran, tetapi juga memendekkan proses ketibaan, kata Tiong dalam kenyataan di laman Facebooknya, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Bintulu itu lagi, selain meningkatkan proses pemeriksaan kastam tanpa menjejaskan pengembara dari negara lain, langkah itu juga boleh menyerlahkan sifat mesra rakyat Malaysia dalam mengalu-alukan pelancong dari China.

Pada masa sama jelasnya, ia turut mengambil kira tahap kesihatan dan keselamatan pelancong dari China serta meredakan kebimbangan pelancong asing berhubung langkah Malaysia memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di pintu masuk negara.

Suara Sarawak