KUCHING: Keunikan Sarawak sebagai wilayah perpaduan jelas terpancar khususnya ketika meraikan sambutan perayaan tanpa mengira kaum.

Hubungan silaturahim yang erat dalam kalangan masyarakat dapat dilihat apabila rakyat dapat hidup dalam keadaan harmoni tanpa berlaku sebarang perbalahan.

Laing Budah

Malah, sikap saling hormat-menghormati yang diamalkan di wilayah ini mendorong kepada suasana aman dan damai sehingga dijadikan sebagai contoh kepada negeri di seluruh Malaysia.

Susulan itu, Penganjuran Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hari ini mendapat sambutan meriah dalam kalangan masyarakat setempat.

Jamilah Lin

Majlis rumah terbuka bermula dari jam 9.30 pagi hingga jam 2 petang itu turut menerima kunjungan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Beliau yang hadir sekitar jam 10.19 pagi itu disambut Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta isterinya, Datin Seri Enn Ong turut diiringi tarian Singa dan letupan mercun.

Awang Khalik Awang Yusuf

Hadir sama memeriahkan rumah terbuka tersebut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta barisan pimpinan dan dif-dif kehormat yang lain.

Dalam pada itu, masyarakat pelbagai latar belakang dan bangsa turut meluahkan kegembiraan ketika menghadiri sambutan perayaan yang penuh makna itu.

Chai Hoon

Timbalan Bendahari Agong Persatuan Orang Ulu Kebangsaan Laing Budah, 66, memberitahu bahawa sambutan TBC mampu menyatukan rakyat yang pelbagai kaum.

“Mereka yang berada dalam bidang politik, swasta dan kerajaan turut bersama-sama bersatu dalam meraikan perayaan ini.

Kemeriahan ketika sambutan TBC yang berlangsung di Ibu Pejabat SUPP, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui turut disertai Abang Johari serta isteri, Fadillah dan Dr Sim.

“Tanpa melihat latar belakang masyarakat, siapa-siapa dibenarkan untuk menghadiri majlis ini. Inilah keunikan yang kita Sarawak ada,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Seterusnya, Jamilah Lin, 60, yang mempunyai kacukan Melayu dan Cina meluahkan rasa bangga melihat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai ketika menghadiri rumah terbuka ini.

Jelasnya, hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum ini menjadi satu perkara yang perlu dikekalkan sehingga ke generasi akan datang.

Awang Khalik Awang Yusuf, 62, ketika ditemui berkata majlis yang diadakan ini mempunyai konsep yang baik dalam merapatkan hubungan antara satu sama lain.

“Apabila adanya program seperti ini, ia boleh mendorong kepada perpaduan yang lebih baik. Kita harap ia dapat diteruskan,” katanya.

Chai Hoon, 53, turut menekankan bahawa program seperti ini termasuk sambutan hari raya, gawai, deepavali dan lain-lain penting dalam menyatukan masyarakat.

Suara Sarawak