KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) akan menjalankan Program Saringan Kesihatan Awam kepada orang ramai dan pelawatnya bermula 9 Januari ini.

Program ini dijalankan bagi menyahut usaha murni kerajaan dalam menjayakan Teras 3 Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Unit Komunikasi Korporat HUS dalam kenyataan berkata, tujuan aktiviti saringan kesihatan ini adalah untuk mengenal pasti golongan yang mempunyai faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

“Melalui aktiviti ini, masyarakat dapat mengetahui status kesihatan mereka seterusnya dapat melaksanakan intervensi bagi tindakan pencegahan faktor risiko NCD.

“Program ini menyasarkan dalam lingkungan 30,000 hingga 35,000 penglibatan masyarakat setiap tahun.

“Justeru, orang ramai bersama keluarga mereka adalah dialu-alukan untuk datang ke HUS bagi melakukan pemeriksaan kesihatan dan jangan lepaskan peluang ini,” katanya.

Program tersebut bermula pada 9 Januari ini, ia akan berlangsung dari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum, jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari bertempat di Ruang Legar Pusat Rawatan Harian, HUS.

Suara Sarawak