DENGAR SINI…Zulkarnien Poasa (tengah) memberi taklimat kepada pemain.

KUCHING: Lebih 100 orang pemain telah menyertai sesi pemilihan skuad bawah 23 tahun Kuching City FC di Padang Sintetik, Taman Sourabaya, Petra Jaya yang bermula pagi tadi.

Ketua jurulatih Kamarudin Anuar menjelaskan, pemain yang mencuba nasib dalam sesi pemilihan tersebut dijalankan bagi mencari pemain terbaik dari kawasan berbeza seperti Kuching, Samarahan serta kawasan berdekatan.

Katanya, pemain dari seberang laut (Kuala Lumpur) dan jiran tetangga iaitu Sabah serta bekas pemain skuad pelapis Kuching City FC dan Sarawak United FC turut mencuba nasib dalam sesi pemilihan itu.

“Kita terkejut dengan sambutan diberikan pemain ketika menyertai sesi pemilihan yang bermula seawal pagi tadi dan sebelah petang,” jelas Kamarudin kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, komitmen diberikan semua pemain begitu tinggi sekali malah mereka bersemangat memberikan aksi terbaik.

Menurut Kamarudin, mengikut jadual sesi pemilihan berlangsung tiga hari sehingga Jumaat ini.

Bagaimanapun, segalanya terpulang kepada situasi serta penilaian dilakukan pihaknya terhadap prestasi pemain.

Dengan kata lain, sesi pemilihan akan ditamatkan seandainya sudah mengenal pasti barisan pemain bayangan terbaik.

“Sasaran kita untuk mencari 25 orang pemain terbaik dan ia memerlukan sedikit masa sebelum dapat memuktamadkan senarai nama mereka,” tegas Kamarudin.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui mereka bercadang untuk mengadakan sesi di Miri.

“Cadangan tersebut telah dikemuka kepada pihak pengurusan, namun belum ada maklum balas,” tambah beliau lagi.

Suara Sarawak