Setiausaha Kewangan Sarawak dilantik ahli lembaga LHDN berkuat kuasa hari ini

KUCHING: Setiausaha Kewangan Sarawak, Wan Lizozman Wan Omar dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkuat kuasa hari ini.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelantikan Wan Lizozman yang mewakili Sarawak itu adalah menepati syarat-syarat utama iaitu profesionalisme dan berpengalaman.

“Oleh kerana ada kekosongan dan atas kuasa saya sebagai Menteri Kewangan, maka saya melantik Setiausaha Kewangan Sarawak sebagai ahli lembaga LHDN berkuat kuasa hari ini.

““Syarat untuk melayakkan diri sebagai ahli lembaga tersebut ialah profesionalisme dan pengalaman. Saya percaya beliau mempunyai kelayakan kedua-dua pertimbangan tersebut dan ia akan membantu LHDN,” katanya.

Beliau berkata demikian  pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Sabah pula sudah mempunyai wakil bukan kerajaan dalam lembaga LHDN tersebut.

“Pelantikan penjawat awam ke lembaga LHDN tidak menjadi masalah selagi wakil rakyat itu memenuhi dua kriteria – profesionalisme dan pengalaman.

“Dan saya berpuas hati dengan cadangan Sarawak, kerana kita percaya beliau mempunyai integriti yang diperlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa Akta LHDN 1995 menyatakan perlu ada wakil kerajaan dan bukan kerajaan sebagai ahli lembaga pengarahnya.

“Bagaimanapun, wakil kerajaan LHDN telah dipenuhi. Justeru, apa yang kita lakukan sekarang adalah menggantikan seorang wakil dari Sarawak.

“Pindaan akan tetap dilakuakn di Parlimen kelak bagi memenuhi Perlembagan,” jelasnya.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor and Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah and Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali.

Suara Sarawak