KUCHING: Kes penderaan seksual termasuk cabul perlu disiasat dengan teliti, sekali gus menjalani proses undang-undang yang sewajarnya.

Ahli Senior Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS) Gill Raja berkata, perkara tersebut perlu dijalankan dengan seadilnya tanpa ada rasa takut atau pilih kasih.

“Sudah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk mendengar keterangan, memastikan perbicaraan dilaksanakan dengan adil dan membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Sementara pada Jumaat, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, seorang pegawai perubatan lelaki berusia 28 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencabul pesakit wanita di sebuah pusat perubatan di sini.

Suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang pada hari sama kejadian oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuching yang menerima laporan mangsa berusia 34 tahun dan kes mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa suspek mencabul kehormatannya ketika dia menjalani prosedur pemeriksaan secara bersendirian di dalam bilik rawatan sekitar jam 11.30 pagi.

Menurut Gill, pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, bagaimanapun mahu menyebarkan kepada masyarakat mengenai kesedaran tentang tindakan wajar yang boleh dilakukan oleh mangsa cabul.

“Jika anda merupakan mangsa cabul, beritahu orang yang dipercayai dan ketahui cara melaporkan dengan betul – untuk lelaki dan juga wanita.

“Pelaku wujud dalam kalangan semua lapisan masyarakat, risiko lebih tinggi apabila potensi pendera mempunyai lebih kuasa ke atas seseorang yang menyangka mereka tidak akan ditangkap,” ujarnya.

Suara Sarawak