Datuk Sri Fadillah Yusof ketika menziarahi kubur Rosli Dhoby, di Sibu, hari ini.

SIBU: Sebagai anak kelahiran dari Sibu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah Yusof bertekad untuk tidak meminggirkan bahagian tersebut dalam menikmati limpahan pembangunan.

Berasal dari Kampung Datu Lama di sini, beliau memberitahu akan memberikan perhatian terhadap pembangunan Sibu di peringkat Persekutuan.

“Kita akan lihat dengan lebih terperinci lagi mengenai apa yang perlu dibuat untuk Sibu,” katanya ketika ditemui media semasa sarapan pagi bersama 200 kariah Masjid An-Nur di Restoran Dapur Ani di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut menyebut tentang aspek pembangunan perumahan.

Jelasnya, beliau akan meminta kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian khusus mengenai perkara tersebut.

“Kita akan lihat bagaimana kita boleh membantu sama ada pembangunan fizikal atau infrastruktur di sini.

“Salah satu cabaran di Sibu ialah kos pembinaan rumah yang tinggi memandangkan bandar ini terletak di atas kawasan tanah gambut,” jelas Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Sehubungan itu, Fadillah menegaskan beliau akan memastikan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan boleh membantu negeri ini dalam membangunkan rumah mampu milik untuk generasi muda.

Terdahulu, beliau turut mengadakan solat subuh dan kuliah di Masjid An-Nur sebelum menziarahi kubur Rosli Dhoby dan disusuli lawatan ke Pasar Sentral Sibu serta menziarahi Komplek Kebajikan Juma’ani Tuanku Haji Bujang Sibu.

Turut mengiringinya ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee.

Suara Sarawak