KUCHING: Sarawak telah mencapai beberapa kejayaan besar pada tahun 2022 hasil daripada kestabilan politik dan perpaduan rakyat berbilang kaum yang kukuh di negeri ini.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, malah Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang amat stabil di Malaysia dalam era tahun 2022.12.31

“Sik berasa udah setahun (tidak berasa sudah setahun) kita dalam tahun 2022. Bagi Sarawak apabila kita mengimbau semula semua yang sudah berlaku sepanjang tahun ini, banyak pencapaian telah diperoleh.

Abang Johari ketika menyampaikan amanat tahun baharu 2023 di Stadium Perpaduan, malam tadi.

“Antaranya jangkitan Covid-19 menurun, negeri sedang berusaha memulihkan ekonomi. Dalam masa yang sama kita memperhebatkan lagi pembangunan yang telah dirancangan termasuk membina semua kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan banyak lagi.

“Di samping menubuhkan pelbagai agensi yang menumpukan perhatian kepada pembangunan masyarakat di luar bandar serta pedalaman,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Ambang Tahun 2023 di Stadium Perpaduan Kuching, di sini, sebentar tadi.

Malah katanya, Sarawak juga telah berjaya menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat menggunakan peruntukan yang besar demi masa depan generasi akan datang khususnya bagi menyediakan pendidikan percuma.

“Semua ini kita berjaya lakukan kerana memperoleh pendapatan yang lebih daripada biasa menerusi pendekatan ekonomi baharu hijau yang telah dibangunkan.

“Pada 2025, Sarawak akan mengeluarkan 100 tan hidrogen yang bakal dibekalkan kepada luar negara. Di samping akan menyimpan karbon, semua ini adalah untuk menjana pendapatan yang lebih untuk rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, semua perkara tersebut berjaya dicapai kerana kerajaan GPS mendapat keyakinan daripada rakyat untuk terus memerintah, dalam masa yang sama mempunyai suara yang kuat di peringkat Persekutuan termasuk mempunyai lima menteri penuh dan enam timbalan menteri.

Suara Sarawak