AKSI PERTAMA…Barisan kesebelasan utama KC FC pada perlawanan menentang pilihan Mukah petang semalam. – FOTO KC FC

KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC (KC FC), Irfan Bakti Abu Salim akan memantau prestasi semasa para pemain sepanjang siri jelajah pasukannya ke tiga lokasi berbeza, Mukah, Betong dan Sibu.

Pendekatan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memudahkan tugas mengenal pasti bayangan kesebelasan pemain utama.

“Dalam kunjungan ke tiga lokasi berbeza ini, saya akan memantau prestasi pemain yang diturunkan pada setiap perlawanan.

“Ia perlu supaya senang bagi saya mengenal pasti barisan kesebelasan utama,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, beliau akan menggunakan tiga perlawanan persahabatan terbabit untuk mengadun kudrat pemain lama dan baharu.

“Walaupun KC FC bukanlah tandingan sebenar pasukan lawan di setiap lokasi terbabit. Sekurang-kurangnya ada ruang bagi saya untuk menguji kemampuan mereka terutama pemain baharu,” tambah Irfan lagi.

Semalam, skuad The City Boys tiba di lokasi pertama, Mukah dalam siri jelajah mereka dan terus menguji barisan pilihan Mukah.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu berlangsung di Padang Mesra MDDM, Mukah dan menyaksikan kemenangan (8-0) berpihak kepada KC FC.

Esok anak-anak buah Irfan Bakti akan menguji keupayaan pilihan Betong di Kompleks Sukan Betong.

Suara Sarawak