KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) menyambut baik langkah awal Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) yang terarah kepada program pembangunan sukan di peringkat sekolah mencakupi peringkat umur 12 hingga 18 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSC Awang Putrayusrie Awang Redzuan melihat pendekatan tersebut amat bertepatan bagi melahirkan atlet pelapis, selain berperanan mengekalkan kredibiliti Sarawak sebagai kuasa sukan di negara ini.

“Secara tidak langsungnya akan dapat melihat kemunculan ramai atlet baharu untuk diketengahkan ke peringkat atau kejohanan lebih tinggi pada masa akan datang,” ujar Awang Putrayusrie kepada Arena Suara Sarawak.

UNTUK KENANGAN…Awang Putrayusrie Awang Redzuan (lima kanan) bersama-sama yang lain pada mesyuarat tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai agenda yang dibincangkan pada Mesyuarat Agung Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS) di pejabat JPNS, Petra Jaya pagi tadi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengarah JPNS Datuk Dr Azhar Ahmad merangkap Yang Dipertua MSSS. Hadir sama pada mesyuarat tersebut Pegawai Pendidikan Daerah seluruh Sarawak serta pegawai dari SSC dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Dalam pada itu, Awang Putrayusrie menyatakan, pada mesyuarat itu juga turut membincangkan program lain serta bentuk kerjasama yang bakal dijalinkan melibatkan semua pihak (JPNS, SSC & MSNS) berkenaan.

“Pada mesyuarat itu juga kita membincangkan isu serta cabaran dalam pembangunan sukan,” tambah beliau lagi.

Suara Sarawak