Chong Chieng Jen dan Nga Kor Ming semasa kunjungan hormat diadakan.

KUCHING: Kawasan Stampin memerlukan sekurang-kurangnya dua balai bomba ekoran pertambahan penduduk di kawasan ini, kata Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen.

Beliau berkata, Stampin merupakan kawasan yang sangat luas kerana terdapat tiga Dun iaitu Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawa seluas 194km persegi.

“Bukan itu sahaja, kawasan ini juga mempunyai penduduk yang ramai kerana peluang pekerjaan yang disediakan dengan jumlah melebihi 250,000 orang dan jumlah pengundi pada Pilihan Raya Umum yang lalu sebanyak 121,000 orang.

“Dengan jumlah penduduk yang ramai di Stampin, ini menggesa pihak bertanggungjawab untuk menubuhkan balai bomba dan memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba iaitu 10 minit masa tindak balas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, hari ini.

Dalam masa sama, Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mengatakan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak telah membuat permohonan dua balai bomba ini pada tahun 2019.

“Namun, setelah kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi memimpin, permohonan ini tidak dilaksanakan dan apabila kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil alih, mereka tidak mengendahkan cadangan JBPM Sarawak.

“Dalam cadangan awal, JBPM Sarawak telah mengusulkan untuk mendapatkan sebidang tanah untuk membina balai bomba tetapi untuk mempercepatkan pembinaan dan penyiapan itu, kami bercadang untuk membeli gudang industri ringan yang sedia ada di kawasan tersebut dan melakukan beberapa pengubahsuaian untuk dijadikan balai bomba.

“Beberapa gudang industri ringan telah dikenal pasti untuk cadangan pembelian dan penukaran kepada balai bomba baharu,” tambahnya lagi.

Beliau berharap agar Nga Kor Ming mempercepatkan permohonan serta meluluskan geran dan peruntukan yang diperlukan dalam cadangan tersebut.

Suara Sarawak