KUCHING: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kedudukan Sarawak berstatus wilayah adalah ‘sekadar cadangan’ dan belum diwarta, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, untuk pengiktirafan itu berkuat kuasa, Perlembagaan Persekutuan mesti dipinda mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Dari mula lagi memang kita sepatutnya wilayah tetapi keadaannya sudah berubah dalam 60 tahun…sebab itu kita meminda perlembagaan MA63.

Abang Johari bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Pagi Bebas Kenderaan Bandaraya Kuching di Padang Merdeka, di sini, pagi tadi.

“Ini adalah mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan kita yang telah mengambil kira MA63 dan IGC. Sebenarnya kita wilayah sebab itu jawatan Ketua Menteri juga ditukar kepada Premier Sarawak,” katanya ketika mengulas kenyataan Zahid Hamidi mengenai kerajaan persekutuan akan mewartakan pengiktirafan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pagi Bebas Kenderaan Bandaraya Kuching di Padang Merdeka, di sini, pagi ini.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Sarawak akan mengusulkan pertanyaan tersebut kepada kerajaan persekutuan dalam mesyuarat Khamis ini (19 Januari).

“Kita akan bertanya adakah kerajaan perpaduan ini serius mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dan bukannya Negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita akan lihat bagaimana keadaannya.  Kami ada mesyuarat (dengan kerajaan persekutuan) pada 19 Januari depan.. jadi kami akan memastikan perkara ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya ditukar kepada wilayah.

Suara Sarawak