Datuk Sri Dr Sim Kui Hian berucap pada Majlis Penutupan Makmal Perumahan Mampu Milik Strategik – Pemilikan Rumah Mampu Milik Dipermudahkan (A H.O.M.E) di Kuching, semalam. Foto: RAMIDI SUBARI

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan pihak swasta dan pemilik tanah persendirian untuk turut menyumbang idea kepada pembangunan pelan induk pembaharuan bandar raya Kuching.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Sri Dr Sim Kui Hian berkata, ia bagi memastikan rancangan membangunkan kawasan terlibat dengan lebih sistematik, moden dan pintar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Kerajaan memerlukan semua pihak berkepentingan, perunding, swasta serta pemilik tanah persendirian khususnya di kawasan Padungan untuk mengambil bahagian dalam merancang pelan induk pembaharuan bandar ini supaya kita mempunyai legasi projek yang lebih besar dan hebat.

“Ini kerana pelan tersebut hendaklah meliputi semua aspek termasuk pembinaan jalan raya, rumah mampu milik, pusat rekreasi dan pusat perniagaan untuk menjadikannya daerah ekonomi baharu bandar raya Kuching,” katanya.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Makmal Perumahan Mampu Milik Strategik – Pemilikan Rumah Mampu Milik Dipermudahkan (A H.O.M.E) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya Kerajaan Sarawak turut komited untuk membina perumahan mampu milik melalui pelan induk itu termasuk membangunkan semula flat KMC dan kawasan sekitar Padungan yang merangkumi Jalan Mathies sehingga ke bangunan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Setakat ini kita masih menunggu pihak perunding untuk datang kerana kawasan Padungan termasuk flat KMC mempunyai potensi yang sangat baik untuk dibangunkan.

“Oleh sebab itu juga kita memerlukan idea dan cadangan daripada pelbagai pihak berkaitan supaya perancangan pembangunan ini kelak membawa manfaat bukan hanya untuk sekarang, tetap juga untuk generasi akan datang,” jelasnya.

Untuk rekod pada 2018, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari tun Openg mengumumkan kawasan Kuching khususnya Padungan akan dibangunkan berkonsepkan pembaharuan bandar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kawasan tersebut yang didiami majoriti kaum Cina tersebut akan dibangunkan semula dengan kemudahan serta prasarana moden namun pada masa sama mengekalkan warisan sedia ada di situ.

Suara Sarawak