Datuk Ibrahim Baki (tengah) menyampaikan sumbangan TBC kepada salah seorang penerima dari Dun Satok, di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Datuk Richard Wee (kiri). FOTO: ALIF NONI

KUCHING: Setiap kali menjelang musim perayaan, pelbagai sumbangan akan dihulurkan kepada golongan kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka turut serta meraikannya.

Pelbagai pihak, bukan sahaja kerajaan tetapi juga agensi, persatuan serta pihak swasta pasti akan tampil untuk memberi bantuan bagi meringankan beban golongan tersebut, sekali gus memastikan mereka tidak terpinggir.

Hari ini, sejumlah 50 orang terdiri daripada 18 penduduk dan 32 pelajar dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menerima sumbangan masing-masing bernilai RM200 berupa angpau dan barangan keperluan seperti kuih-muih dan biskut.

Menurut Adun Satok Datuk Ibrahim Baki, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban masyarakat setempat yang bakal menyambut perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) tidak lama lagi.

“Program seperti ini amat baik kerana ia memberi bantuan kepada golongan masyarakat dan pelajar yang kurang berkemampuan untuk meringankan beban mereka bagi menyambut perayaan.

Datuk Ibrahim Baki

“Malah, masa ini amat sesuai untuk menyampaikan semua sumbangan tersebut memandangkan TBC akan tiba tidak lama lagi.

“Walaupun jumlahnya tidak besar. Tetapi saya pasti ia amat bermakna untuk mereka membuat persiapan dalam meraikan sambutan tersebut bersama-sama keluarga tercinta dan sahabat-handai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Sumbangan ‘Gong Xi Fai Cai’ 2023 bertempat di Sekolah Menengah Chung Hua No.4, di sini, hari ini.

Tambahnya, program seperti itu bukan hanya dilaksanakan untuk perayaan TBC, tetapi juga perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan sebagainya.

“Bagi kawasan Satok, kita inklusif dengan melaksanakan program seperti ini setiap kali menjelang semua musim perayaan tanpa mengira agama dan bangsa,” ujarnya.

Program tersebut merupakan anjuran Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Green Road (Kawasan A) bagi membantu pelajar sekolah dan penduduk setempat yang kurang berkemampuan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Chung Hua No. 1-4, Datuk Richard Wee dan Timbalan Datuk Bandar MBKS Hilmy Othman.

Suara Sarawak