SIBU: Dua suspek yang terlibat dalam kegiatan ‘pasport terbang’ di sini enam tahun lepas telah dibenarkan bebas oleh Mahkamah Majistret dengan ikat jamin Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Suspek tersebut ialah pegawai Imigresen berusia 36 tahun dan seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang bertindak sebagai orang tengah dalam kegiatan tersebut.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan bebas oleh Majistret Flavian Edward Henry setelah mendengar permohonan daripada pegawai penyiasat SPRM.

Terdahulu, adik lelaki pegawai Imigresen terbabit berumur 32 tahun yang menjadi ‘keldai akaun’ dalam kegiatan itu juga sudah dibebaskan oleh SPRM pada Sabtu lepas (14 Januari) setelah selesai disiasat.

Sebelum ini, ketiga-tiga tertuduh ditahan reman selama lima hari pada 12 Januari lepas bagi membantu siasatan terlibat dengan kegiatan ‘pasport terbang’ di sekitar bandar ini pada tahun 2017 dan 2018.

Pada 11 Januari lalu, mereka telah ditahan antara jam 2.55 petang dan jam 5.35 petang.

Mengikut fakta kes, pegawai Imigresen terbabit yang bertugas di Jabatan Imigresen Sibu disyaki telah meminta dan menerima suapan wang rasuah secara atas talian daripada seorang lelaki berusia 42 tahun.

Lelaki terbabit dikatakan sebagai orang tengah menjalankan aktiviti ‘pasport terbang’ di sini.

Selepas suapan diterima, pegawai terbabit akan memasukkan data ke dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi melanjutkan tempoh Pas Lawatan Sosial (PLS) yang telah tamat tempoh.

Pegawai terbabit juga disyaki menerima wang suapan tersebut melalui akaun bank milik adiknya.

Suara Sarawak