BERCAKAP… Ahsmon ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perhimpunan bulanan IPD Kuching di padang kawad IPD

KUCHING: Suspek utama kes samun kumpulan bersenjata di sebuah kedai makan di Jalan Stutong di sini baru-baru ini, berjaya ditahan dalam tempoh 48 jam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek lelaki, 36, berjaya ditahan sekitar jam 9.30 malam tadi (25 Januari).

Penahanan itu dibuat oleh pasukan khas yang ditubuhkan bersama-sama cawangan D9 Sarawak selepas menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Apa yang menarik tentang suspek ini ialah dia sememangnya ada dalam senarai orang dikehendaki.

“Suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah serta curi harta benda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di padang kawad IPD, di sini, sebentar tadi.

Sehubungan itu, kes dianggap selesai dan saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama netizen dalam membantu menyelesaikan kes ini,” katanya.

Ahsmon menambah, suspek akan direman bagi membantu siasatan dan mengetahui sama ada suspek terbabit dalam kes lain.

Dalam pada itu, siasatan untuk mengesan rakan subahat masih dijalankan.

Suara Sarawak