Gambar hiasan

KUCHING: Sebuah syarikat pembekal pelbagai jenis mi dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menjual Mi kuetiau yang mengandungi Asid Benzoik, April tahun lalu.

Wakil syarikat cawangan Kuching membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarikat terbabit didakwa di bawah Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Berdasarkan fakta kes, kesalahan tersebut telah dilakukan pada 20 April 2022 apabila beberapa pegawai penguatkuasa Unit Keselamatan Dan Kualiti Makanan dari Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Kuching mengambil sampel makanan kuetiau yang dijual di premis makanan di Jalan Stutong Baru, Kuching.

Dianalisis di Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan di Jalan Tun Abang Haji Openg, mi terbabit didapati mengandungi Asid Benzoik dengan kadar 2,416 miligram perkilogram iaitu melebihi standard maksimum yang ditetapkan dibawah Peraturan 19(2)(b)(ii) iaitu 1000 miligram perkilogram.

Hasil siasatan mendapati produk kuetiau yang dikeluarkan sebuah syarikat tempatan beroperasi di Kuching telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983.

Pegawai Pendakwa Muhammad Qamarulariffin memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai sebagai pengajaran kepada tertuduh dan peniaga lain serta juga mengambil kira dasar kepentingan kesihatan awam.

Suara Sarawak