KUCHING: Usaha Persekutuan Wushu Nanyang Sarawak memperkenalkan Tarian Burung Kenyalang sememangnya langkah yang amat tepat.

Tidak hanya pendekatan tersebut dilihat sebagai mempelbagaikan kesenian yang ada di negeri Sarawak.

Malah, inisiatif luar jangkaan untuk menampilkan keunikan yang ada sejajar dengan Burung Kenyalang yang merupakan ikon bagi Negeri Sarawak.

SIMBOLIK…Datuk Dr. Jerip Susil (kiri) menitip mata Burung Kenyalang sebagai simbolik perasmian Tarian Burung Kenyalang pada majlis tersebut semalam. – FOTO FAIZAL BUJANG

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil menegaskan, pujian harus diberikan kepada persekutuan tersebut atas usaha serta inisiatif yang ditampilkan dengan memperkenalkan tarian terbabit.

“Syabas dan tahniah kepada Persekutuan Wushu Nanyang Sarawak dengan inisiatif menampilkan tarian baharu ini.

“Kita akan dapat melihat tarian ini dipersembahkan pada majlis rasmi kerajaan dan sebagainya,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tarian Burung Kenyalang , Festival Wushu Nanyang 2023 di salah sebuah pusat beli-belah di bandar ini sebentar tadi.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Persekutuan Wushu Nanyang Sarawak, Prof. Datuk Seri Dr Song Swee Hee dan Naib Pengerusi Persekutuan Wushu Nanyang Sarawak, Datuk Seri Dr. Yew Liew Yian.

Sementara itu, Song berharap dengan adanya tarian inovatif ini secara tidak langsung mampu mencipta sesuatu yang unik dan memberi motivasi kepada masyarakat berbilang kaum.

Suara Sarawak