Dr Hazland mewakili Abang Johari ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Sarawak ke-17 di Hotel Raia

KUCHING: Kolej Teknologi Sarawak (TCS) merupakan antara institusi pengajian tinggi berasaskan perniagaan terbaik di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kolej itu mempunyai kadar kelulusan tinggi yang melebihi jangkaan.

“Dan ini adalah pencapaian cemerlang yang patut dibanggakan oleh setiap pelajar dan kakitangan TCS.

“TCS juga merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada kemahiran dalam pasaran pekerjaan hari ini, kerana kolej itu berjaya melahirkan graduan dengan kemahiran kebolehpasaran yang tinggi.

“Oleh itu, tidak hairanlah kira-kira 98 peratus graduan TCS bekerja dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni pada Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Sarawak ke-17 di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Tambahnya, mereka yang belajar di TCS mempunyai kelebihan kerana kolej itu menawarkan kursus kelas pertama dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) iaitu institusi pengajian tinggi bertaraf lima bintang di Malaysia dengan program Asasi dan Diploma tempatan sendiri.

“Oleh itu, pelajar dijamin dengan pendidikan berkualiti dan juga kadar kebolehpasaran yang lebih tinggi dalam dunia pekerjaan,” jelasnya.

Salah seorang graduan ketika menerima ijazah, disampaikan Dr Hazland

Suara Sarawak