Gambar hiasan

DATA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan penjawat awam antara paling ramai yang terbabit dengan salah laku rasuah.

Ketiadaan integriti apabila mempunyai kuasa dan peluang dikatakan antara punca penjawat awam terlibat dengan rasuah. Berdasarkan data tersebut, setiap tahun, hampir separuh daripada tangkapan keseluruhan SPRM melibatkan penjawat awam.

Berdasarkan rekod SPRM, sejak 2016 hingga 30 September 2022, seramai 27 individu dari KBS dan agensi-agensi di bawahnya ditangkap kerana kesalahan rasuah.

Rekod itu turut mendedahkan bahawa sebanyak 74 peratus daripadanya atau 20 tangkapan adalah disebabkan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Perlakuan segelintir penjawat awam ini sememangnya merosakkan nama perkhidmatan awam dan imej negara.

Ia akan membawa kesan negatif dari segi menarik pelaburan, sama ada tempatan atau asing dan lain-lain aktiviti ekonomi.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung, ia pasti melarat dan merebak sehingga menghancurkan perkhidmatan awam serta negara.

Justeru, amalan rasuah dalam perkhidmatan awam mesti dihentikan demi meningkatkan imej penjawat awam.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menegaskan secara spesifik masalah rasuah terutama kecuaian pegawai agensi penguatkuasaan serta penjawat awam yang terus mengutip habuan.

Ia merupakan isu sejagat dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi membendung gejala rasuah daripada bertambah parah.

Bagaimanapun bagi mereka yang mempamerkan integriti dengan melaporkan tawaran atau penerimaan rasuah amatlah dihargai.

Kerajaan juga menghargai penjawat awam yang menolak rasuah dan melaporkan kepada SPRM menerusi pekeliling yang dikeluarkan pada Mei 2011 bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah’.

Objektifnya adalah untuk menggalakkan penjawat awam melaporkan rasuah dan mengiktiraf penjawat awam yang memperlihatkan etika dan integriti dalam menangani rasuah.

Setakat ini, seramai 406 penjawat awam menerima pengiktirafan itu dengan ganjaran diberi kepada penjawat awam itu membabitkan RM813,806.

Beberapa hari yang lepas, media nasional melaporkan seramai 40 penjawat awam dari pelbagai agensi dan jabatan serta kementerian diraikan SPRM atas jasa mereka membantu membanteras rasuah di negara ini.

Antaranya diraikan itu termasuk pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan juga Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Pegawai lain pula terdiri daripada mereka yang berkhidmat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mereka yang diraikan itu adalah susulan tindakan melaporkan penawaran atau pemberian rasuah kepada SPRM bagi 2022 dan kesemua mereka diberikan sijil pengiktirafan serta ganjaran wang tunai.

Penghargaan tersebut adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang sebelum ini dipengerusikan bekas Perdana Menteri pada Ogos 2010.

Suara Sarawak