UJI…Anggota trafik menguji salah seorang pengguna jalan raya.

 

OPERASI… Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Tabuan Jaya mengeluarkan 41 keping saman atas pelbagai kesalahan jalan raya, selain memeriksa 111 buah kenderaan dan 125 individu.

KUCHING: Tiga lelaki ditahan dalam Op Mabuk di Jalan Tabuan, di sini, semalam kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, kesemua suspek berumur 36, 51 dan 58 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian menggunakan alat Evidential Breath Analyzer, ketiga-tiga suspek didapati positif alkohol dengan kandungan 60 miligram/100 militer, 183 miligram/100 milimeter dan 116 miligram/100 milimeter.

“Ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun jika disabit kesalahan.

Dalam pada itu Merbin berkata, operasi bermula jam 10.30 malam melibatkan dua orang pegawai dan 10 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching.

Katanya, sebanyak 41 keping saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan.

“Manakala, sebanyak 111 buah kenderaan dan 125 orang telah diperiksa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

“Masyarakat diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan pengubahsuaian kenderaan ekzos, nombor pendaftaran serta kesalahan lalu lintas yang lain.

“Hati-hati semasa memandu bagi mencegah kemalangan jalan raya,” katanya.

Suara Sarawak