BINTULU: Seorang warga asing dipercayai tokan dadah dicekup dalam Ops Tapis di belakang tandas awam tapak Pasar Malam, Jalan Sommerville, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Bartholomew Umpit berkata selain pengedaran dadah, suspek lelaki berumur 25 tahun itu juga ditangkap dalam aktiviti penagihan dadah.

Turut dirampas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Bintulu adalah dadah disyaki jenis syabu dengan berat kasar 5.5 gram.

“Siasatan awal dipercayai dadah itu digunakan untuk pengedaran di sekitar kawasan bandar dan ladang boleh digunakan untuk 150 orang penagih,” katanya.

Tambahnya, hasil ujian saringan polis juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Suspek katanya, disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, suspek boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali, manakala jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)ADB 1952, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan pengawasan dua tahun.

“Manakala, kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(tiada dokumen perjalanan) memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan,” ujarnya.

Menurutnya, tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di Daerah Bintulu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah di daerah ini diseru untuk memaklumkan kepada pihak PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 bagi tindakan lanjut,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak