Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING:Semua isu tertunggak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk pengembalian autonomi pendidikan dan kesihatan Sarawak diharap dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap kedatangan Tahun Baharu Cina (TBC) ini akan membawa sinar baharu untuk semua tuntutan tersebut dalam semangat perpaduan dan persefahaman antara persekutuan dan negeri.

“Sebagai salah satu entiti yang membentuk Malaysia, Sarawak harus diberi perhatian lebih daripada sebelum ini untuk mengelakkan pembangunan berat sebelah kepada Semenanjung Malaysia.

“Lagipun Sarawak merupakan salah satu daripada tiga penyumbang utama hasil negara.

“Saya juga amat berharap isu tertunggak lain, khususnya formula sumbangan kewangan kepada Sarawak dan Sabah akan dipersetujui tidak lama lagi.

“Ini supaya Sabah dan Sarawak mendapat bahagian yang saksama dalam pulangan hasil daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam perutusan khas sempena TBC, semalam.

Mengulas lanjut katanya, Sarawak telah mencadangkan formula berdasarkan kesihatan ekonomi semasa negara dan bukannya sebagai bahan edaran semata-mata.

“Saya percaya bahawa formula negeri adalah mekanisme yang adil untuk membahagikan sumbangan kewangan persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu agak gembira kerana isu-isu tertunggak mengenai MA63 diberi keutamaan yang sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Khususnya yang bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan berkesan dan pantas di negeri ini.

“Ia juga termasuk kelulusan untuk memberi kuasa kepada sendiri kepada Sarawak melaksanakan projek bernilai RM50 juta dan ke bawah bagi sepatutnya mengelakkan kelewatan atau tidak pelaksanaan projek,” ujarnya.

Katanya, menjadi harapan beliau agar permintaan meletakkan dana pembangunan di bawah tabung amanah Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak melaksanakan projek bawah RM50 juta dilakukan tanpa sebarang halangan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengesahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Saliran dan Pengairan sebagai jabatan teknikal dalam maksud Arahan Perbendaharaan (TI) 182 untuk melaksanakan projek di negeri ini,” katanya.

Suara Sarawak