BETONG: Seekor ular sawa bersembunyi di dalam tandas selepas menelan kucing peliharaan pemilik rumah di Kampung Sebemban dekat sini, hari ini.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Leftenan Muda Desem Samuel, kehadiran sang batik berukuran lapan kaki panjang itu disedari kira-kira 10.23 pagi.

“Selepas dimaklumkan, empat anggota skuad Bravo diketuai Sarjan (PA) Hasla Deli digegaskan ke lokasi.

SALAH seorang anggota APM berusaha menarik ular sawa sepanjang lapan kaki yang bersembunyi di tandas sebuah kediaman di Kampung Sebemban, hari ini.

“Kira-kira 12 minit kemudian, ular sawa yang kekenyangan menyorok di dalam tandas berjaya dijerut,” katanya dihubungi, hari ini.

Jelasnya, ular berkenaan dibawa ke Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, kes tersebut merupakan yang kedua bagi operasi menangkap ular tahun ini, selepas tahun lalu pihaknya merekodkan 114 panggilan kecemasan untuk kes sedemikian.

Suara Sarawak