KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.30 petang memaklumkan seorang lelaki berumur lingkungan 60-an tidak sedarkan diri dalam kenderaan tersebut.

Sejurus itu katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan digerakkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba cuba membuka pintu kereta pikap menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Sampai di lokasi kejadian, didapati terdapat sebuah kereta pikap terkunci dari dalam dan terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri.

“Pihak bomba terus menjalankan operasi dengan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pintu kereta berjaya dibuka dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Suara Sarawak