CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya.

SKMM dalam kenyataan, menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

“Kita juga mengingatkan orang ramai supaya tidak memberi butiran peribadi seperti kad dan nombor pengenalan kepada individu yang tidak dikenali.

“Kewaspadaan terhadap isu ini adalah penting untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dan kecurian peribadi serta bentuk jenayah yang lain,” katanya.

Menurut SKMM, hasil pemantauan yang telah dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan Maybank sebanyak RM270,000.00 di bawah Bonus Hadiah Keluarga Telekom Malaysia Berhad.

Ujarnya, mesej itu juga menjelaskan transaksi dengan Maybank adalah sah dan mangsa boleh menuntut wang tunai itu tanpa rasa takut.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk terus berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mesej seumpamanya yang tidak ditentukan kesasihannya,” tegas SKMM.

Orang ramai juga digesa untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk perhatian dan tindakan susulan.

Suara Sarawak