204 calitan di Town Villa, rumah pangsa Sibu Jaya positif Covid-19

SIBU: Sebanyak 204 daripada 6,493 sampel calitan yang dikumpulkan dari ujian saringan yang membabitkan kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya telah diuji positif Covid-19.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing ketika dihubungi, sebentar tadi.

Terdahulu, beliau ditanya mengenai perkembangan calitan yang dilakukan di kedua-dua kawasan itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 12 Februari sehingga 25 Februari ini.

PKPD itu dilaksanakan susulan peningkatan kes positif di Sibu Jaya.

Mengenai jumlah sampel yang dikumpulkan daripada pengesanan kes secara aktif (ACD) yang dilaksanakan Sabtu lalu untuk Zon 7 Tiong Hua di Bangunan Letak Kereta Bertingkat Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Dr Chin mengatakan 458 sampel calitan telah dikumpulkan.

“Hasil untuk saringan pada Sabtu lalu yang membabitkan Zon 7 Jalan Tiong Hua dijangka diketahui menjelang esok (Isnin),” katanya.

ACD yang disasarkan untuk Zon 7 berterusan hari ini di tempat tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melaksanakan ACD di kawasan pentadbiran MPS susulan dari kes positif yang semakin meningkat di kawasan bandar.

Beliau yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut memberitahu kes positif di luar bandar terdapat pengurangan khususnya di kawasan Sibu Jaya.