KOTA SAMARAHAN: Lima juri profesional antarabangsa termasuk dua orang dari Taiwan bakal dijemput bagi mengemudi Kejohanan Bonsai dan Suiseki Terbuka Sarawak yang akan berlangsung di La Promenade bermula 20 hingga 29 Julai ini.
Kejohanan edisi ke-25 anjuran Persatuan Bonsai Sarawak (SBA) telah mengesahkan seramai 209 peserta bakal berentap sekali gus menyaksikan 185 Bonsai akan diperagakan menjelang kejohanan itu kelak.
Pengerusi Penganjur Hayes Teo berkata, peserta dari Bahagian Kuching merekodkan penyertaan terbesar iaitu lebih 100 orang, diikuti 30 dari Miri, 20 dari Sibu, Simanggang, dan lain-lain kawasan.
“Kita menyasarkan kejohanan kali ini mampu menarik minat lebih ramai penggemar tanaman Bonsai khususnya di Sarawak untuk turut serta dan mengambil peluang menimba ilmu tentang hobi penjagaan tanaman bonsai.
“Edisi kali ini lebih menarik dengan ganjaran empat tawaran anugerah besar serta hadiah disediakan kepada 18 kategori tanaman bonsai terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejohanan di Tingkat lima Bangunan La Promenade di sini, hari ini.
Menurut Hayes, kejohanan juga bertujuan menggalakkan para pengunjung untuk mengetahui lanjut tentang tanaman pameran bonsai di samping memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang kepentingan tanaman hijau terhadap alam sekitar.