21 ekor haiwan terlindung dirampas

LUNDU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 berjaya menemui 21 ekor haiwan terlindung sepenuhnya hasil serbuan ke atas sebuah rumah di kampung Sebat, Sematan, pada Rabu.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 Supt Rosdi Inai berkata serbuan dilakukan bersama anggota Sarawak Forestry Corporation (SFC) sekitar jam 3.30 petang di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kesemua haiwan terbabit dipelihara tanpa permit oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun.

Ayam hutan jenis ‘cresstless fireback’ – gambar hiasan

“Kesemua haiwan yang ditemui termasuk seekor ayam hutan jenis ‘cresstless fireback’, dua ekor burung nuri jenis ‘atlantic canary’, lapan ekor burung bayan dan 10 burung love bird dianggarkan bernilai sekitar RM15,000.

“Kita percaya haiwan-haiwan tersebut diperoleh daripada negara jiran,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukannya telah menahan lelaki terbabit yang mengaku sebagai pemilik haiwan berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan jika sabit kesalahan suspek boleh didenda maksima RM50,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun,” dedahnya.

Rosdi berkata, kes bagaimanapun diserahkan kepada SFC untuk tindakan lanjut.

RAMPAS… antara haiwan yang ditemui termasuk seekor ayam hutan jenis ‘cresstless fireback’, dua ekor burung nuri jenis ‘atlantic canary’, lapan burung bayan dan 10 burung love bird dianggarkan bernilai sekitar RM15,000.

Suara Sarawak