ARTIKEL

TANGKAP LAYAR… Awang Tengah berucap pada persidangan DUN hari ini.

217 kes kesalahan berkaitan hutan direkodkan sejak 2022 hingga April 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 217 kes kesalahan berkaitan hutan direkodkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sejak 2022 hingga April 2024.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, sebanyak 15 kes didaftar untuk pendakwaan di mahkamah dengan empat kes telah selesai diputuskan oleh mahkamah, manakala 11 kes masih dalam proses pendakwaan dan perbicaraan.

‘’Sebanyak RM1.1 juta kompaun dan RM4.9 juta hasil pelupusan melalui jualan kayu rampasan telah dikutip dalam tempoh tersebut,’’ kata Menteri Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua terbabit.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Sementara itu Awang Tengah berkata, sembilan kertas siasatan bagi kes kesalahan berkaitan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dan hidupan liar telah direkodkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bagi tempoh yang sama.

Jelasnya, satu kes telah dibawa ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan manakala lapan lagi kes masih dalam peringkat siasatan.

‘’Bagi tempoh masa yang sama juga, sejumlah 13 kes telah didakwa di mahkamah dengan 12 kes telah dikenakan hukuman denda atau penjara manakala satu kes dikenakan bon berkelakuan baik.

‘’Sehingga kini, jumlah kompaun terkumpul sejak awal 2024 adalah sebanyak RM35,500 manakala jumlah denda mahkamah adalah sebanyak RM180,492,’’ ujarnya.

Dalam perkembangan lain juga kata Awang Tengah, JHS telah diberi penarafan semula Penilaian Risiko Rasuah dari status risiko tinggi pada 2020 kepada status risiko rendah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi 2023.

Hutan Simpan Gunong Poi pula katanya, telah diwartakan melalui Warta GN 145 (CXLV) pada 1927 dan ‘First Extension’ pula diwartakan melalui GN 732 pada 1958.

‘’Berdasarkan siasatan di lapangan dan semakan dokumen-dokumen berkaitan, hanya Kampung Pasir Hulu yang termasuk di dalam kawasan pewartaan.

‘’Manakala bagi Kampung Jantan dan Kampung Temaga Dayak, pertindihan ke atas kawasan pewartaan hanya melibatkan tanah pertanian yang diusahakan penduduk kedua-dua kampung tersebut.

“Sehubungan itu, pihak kementerian serta agensi berkaitan sedang dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan rekomendasi penyelesaian untuk pertimbangan kerajaan sebelum tindakan seterusnya diambil,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU