KUCHING: Sarawak akan menerima pil Antivirus Paxlovid tidak lama lagi, meskipun mendapat permintaan yang sangat tinggi di seluruh dunia.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata ia akan ditawarkan secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Sebanyak 2,400 daripada 48,000 dos telah diperuntukkan untuk Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Paxlovid adalah pil oral pertama yang direka khusus untuk merawat Covid-19 yang diluluskan di Malaysia.
Ia adalah satu lagi inisiatif untuk memerangi gejala teruk Covid-19.
Kajian telah menunjukkan bahawa Paxlovid mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian hampir 90 peratus.
Kriteria pesakit yang layak mendapat pil itu adalah berumur 18 tahun ke atas, kategori 2 dan 3, tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mengalami gejala Covid-19 yang teruk.
