KUCHING: Seramai 246 individu terlibat dalam kegiatan perjudian haram ditahan menerusi 193 serbuan Op Dadu sepanjang 1 Januari hingga 23 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, mereka yang ditangkap terdiri daripada 213 lelaki dan 33 perempuan.
Katanya, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 38 premis telah dibuat pemotongan elektrik.
“Sebanyak 193 kertas siasatan telah dibuka iaitu 154 di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian dalam talian.
“Dan 35 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa lesen manakala empat kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu mempromosikan permainan judi dalam talian dengan menggunakan set komputer,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 172 daripada 246 individu yang ditangkap telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuching.
Katanya, Op Dadu akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras aktiviti perjudian haram.
Beliau turut mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di Daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat di Balai Polis yang berhampiran.
