Pembantu pergigian maut dalam nahas jalan raya

2,461 kes jenayah komersial direkodkan di Sarawak tahun lepas

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak merekodkan sebanyak 2,461 kes penipuan, pecah amanah, jenayah siber, pemalsuan, pemberi pinjam wang tanpa lesen (Ah Long), wang palsu dan sebagainya dalam sepanjang tempoh tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata ia menyebabkan kerugian berjumlah RM63.7 juta.

“Kes-kes jenayah komersial yang melibatkan mangsa paling ramai di Sarawak serta kerugian adalah tipu pembelian dalam talian (453 kes, kerugian RM2.5 juta), Macau Scam (246 kes, kerugian RM13 juta).

“Selain itu pinjaman tidak wujud (236 kes, kerugian RM2.6 juta), tipu tawraan kerja secara dalam talian (225 kes, kerugian RM2.9 juta) dan tipu menyamar kenalan (183 kes, kerugian RM4.2 juta),” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya jumlah kes yang direkodkan pada tahun lepas turun sebanyak 354 kes daripada tahun 2021, yang merekodkan sejumlah 2,815 kes dengan kerugian RM72.7 juta.

Dalam pada itu, Mohd Azman berkata JSJK Sarawak juga berjaya melakukan sebanyak 1,050 tangkapan pada tahun 2022, dengan seramai 1,263 orang (termasuk dari kes-kes tahun sebelum) telah dituduh di mahkamah.

“Pertuduhan tersebut melibatkan 1,146 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan sebanyak 2,461,” katanya.

Justeru, beliau berkata sebagai langkah keselamatan, orang ramai dikehendaki menyemak portal Semak Mule PDRM atau laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ jika berasa was-was dengan nombor telefon dan nombor akaun yang diberikan suspek sebelum membuat apa-apa transaksi.

Tambahnya orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dari jam 8 pagi sehingga 8 malam (setiap hari), CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 dari jam 8 pagi hingga 8 malam (setiap hari) untuk menyalurkan maklumat, aduan dan pertanyaan khususnya melibatkan jenayah komersial.

Pada masa sama, Mohd Azman juga menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi ‘Whoscall’ bagi membolehkan pengguna dimaklumkan terus nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan sistem SemakMule JSJK ditandakan sebagai ‘Scammer’ terpapar sebelum pengguna menjawab panggilan telefon.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 Mac 2023

Berita Terbaru