25 kluster Covid-19 masih aktif di Sarawak, sembilan daerah kekal zon merah

KUCHING: Sejumlah 25 kluster Covid-19 masih aktif di Sarawak dengan Kluster Pasai yang mula dikesan di Sibu pada 9 Januari lalu terus menjadi penyumbang kes-kes positif harian di negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, keseluruhan 2, 649 kes positif telah direkodkan oleh kluster tersebut dengan satu kes dikesan semalam.

“Sejumlah 40,000 individu melibatkan kluster ini telah disaring dengan 37,189 negatif dan 162 masih menunggu keputusan makmal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah JPBNS, sementara Kluster Sungai Bakong di Meradong mencatatkan 65 penambahan kes, Kluster Emperoh Jambu Kuching (31), Kluster Gelong Kapit (14), Kluster Jalan Muhibbah Betong (5), Kluster Geronggang Sibu (1), Kluster Sungai Maong Kuching (1), manakala lain-lain kluster tiada kes baharu.

Mengenai status daerah, JPBNS memberitahu sejumlah 13 daerah di negeri ini kekal berstatus hijau iaitu Lawas, Daro, Simunjan, Lubok Antu, Telang Usan, Asajaya, Limbang, Tanjung Manis, Tebedu, Mukah, Pusa, Kabong dan Marudi.

“Sembilan lagi daerah kekal berstatus merah iaitu Meradong, Kuching, Samarahan, Julau, Subis, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu dengan 2,319 kes jangkitan tempatan direkodkan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Kanowit, Betong, Song, Bukit Mabong, Beluru, Dalat dan Sri Aman kekal berstatus jingga, manakala Sarikei, Lundu, Bau, Matu, Selangau, Saratok, Sebauh, Tatau, Pakan, Serian dan Belaga kekal berstatus kuning,” ujar JPBNS.

Suara Sarawak