ARTIKEL

26 bagus, 30 lebih bagus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MALAM ini sekali lagi wartawan kami akan naik ke pentas seorang demi seorang untuk menerima Anugerah Kewartawan Kenyalang 2023 — satu peringkat penganugerahan tertinggi di Sarawak bagi mengiktiraf peranan media.

Malam ini saya tidak tahu apakah kami memenangi banyak anugerah di luar jangka seperti tahun 2021 dan 2022.

Pada 2021, kami yang baru berusia setahun jagung menggondol 21 anugerah termasuk Anugerah Ketua Menteri dan kami sapu 31 anugerah yang kesemua emas bagi kategori bahasa Melayu termasuk Anugerah Premier Sarawak pada 2022.

Malam ini agak-agak berapa anugerah? Jika memperoleh 26 anugerah sangat bagus tetapi jika dapat 30 anugerah, itu lebih bagus.

Saya pun tidak tahu, namun sudah memberitahu wartawan kami — jangan meletakkan harapan terlalu tinggi, kelak jatuh lukanya akan lebih dalam.

Kalah memang adat pertandingan. Saya sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi tahun ini.

Kalau menang 26 anugerah atau kurang pun saya bersyukur. Mana ada orang sentiasa berada di atas, kadangkala perlu berada di bawah sebagai pendorong kejayaan.

Mereka sudah berusaha sehabis mungkin dan kami di blok pemimpin mereka, sudah memberi tunjuk ajar, ruang dan peluang untuk mereka berkarya.

Selama empat tahun bersamasama kami, mereka diberi tunjuk ajar, bimbingan dan berpuluh-puluh kursus yang boleh memberi rang mereka mencipta jenama.

Kini kami berusia empat tahun lapan bulan kerana Mac depan berusia lima tahun, sudah tentu pencapaian yang diraih wartawan kami boleh dikatakan sangat membanggakan.

Saya selalu berpesan kepada wartawan — selagi mereka mencintai kerja selamanya mereka akan terus mencipta jenama.

Lakukan dengan perasaan cinta, kita membuahkan hasil yang berkualiti.

Kebanyakan wartawan yang menyertai kami anak-anak muda yang tiada pengalaman.

Saya masih ingat, ketika pertama kali membuka pintu Suara Sarawak, kami menemu duga beberapa calon yang baru keluar dari universiti.

Ada seorang calon kami panggil — yang saya masih ingat dengan baik — bekerja sementara di pasar raya. Dengan tiada keyakinan, dia melangkah masuk untuk ditemu duga.

Saya melihatnya dari satu sudut, memegang fail sambil duduk dengan kedua-dua kakinya diketikketik.

Pada pandangan pertama saya dengannya, dia takkan bertahan menjadi wartawan memandangkan watak dan perwatakannya ketika itu.

Namun kata orang, jangan percaya pada pandangan pertama, tidak semestinya kita perlu jatuh cinta dan tidak perlu harus membencinya.

Dua minggu bersama-sama kami, satu tanya satu jawab. Satu soalan, kami mendapat satu jawapan.

Sebulan penuh, 30 hari saya bertanya kepada ketua mereka, bagaimana dengan calon itu.

Jawab ketua mereka — boleh dibimbing tetapi pemalu yang amat sangat.

Bagaimana hendak menjadi wartawan jika anda pemalu? Bayangkan anda menemu bual ratu cantik, bagaimana bertanya soalan jika tidak bertentang mata?

Keyakinan wartawan datang dari mata kemudian turun ke hati orang yang ditemu bual.

Dari tahun ke tahun, saya selalu menyuruh ketuanya untuk menugaskannya menulis yang kami gelar vox populi – suara hati orang yang ditemu bual.

Ada sesekali rakannya bercerita dalam nada bergurau, bahawa dia tidak mahu melihat mata orang yang ditemu bual.

Namun melepasi tahun kedua, dia semakin yakin malah antara wartawan kami yang sangat bagus tulisannya.

Daripada pekerja pasar raya dia mencipta namanya jadi wartawan yang menang anugerah pada tahun lalu dan menang lagi malam ini.

Saya selalu menasihati mereka, perlu jatuh cinta dengan kerjaya dan tulisan.

Perasaan itu sama seperti jatuh cinta, kita memastikan penampilan kita pada hari itu kemas dan cantik sebelum keluar bertemu janji.

Begitu rasanya apabila kita jatuh cinta dengan kerja, sentiasa mencintai penulisan, memburu berita — kita sentiasa mahukan yang terbaik.

Pada mata orang luar, kerja di media massa terutama akhbar harian mungkin dianggap glamor dan popular terutama dalam kalangan wartawan.

Sebenarnya bukan mudah menjadi wartawan

. Jika anda berfikir wartawan cuma kerjaya bagi mengisi kekosongan organisasi media, baik tidak payah.

Kerjaya sebagai wartawan bukan dapat tangkap muat bukan pekerjaan kerja sambil lewa.

Pekerjaan ini harus didatangkan secara pakej dengan minat dan kemahiran.

Bagaimana untuk menghasilkan tulisan yang baik jika mereka sekadar menyiapkan tugasan semata-mata?

Tulisan yang baik dan ada jiwa datang daripada perasaan cinta dengan tulisan sendiri.

Jika menulis dalam keadaan terpaksa, hasilnya sama seperti anda menyalin karangan di permukaan papan hitam seperti murid darjah enam.

Tidak dapat dinafikan, wartawan memang pekerjaan yang menyeronokkan.

Sekali lagi, pekerjaan itu juga kerjaya glamor pada mata orang luar.

Apabila ditanya, apakah pekerjaan anda — jawablah wartawan — dan jawapan itu mengalih terus tanggapan orang luar.

Percaya atau tidak, orang luar anggap wartawan seperti bos, orang paling berpengaruh dan popular.

Jika mahu sentiasa diingati maka jadilah penulis, wartawan atau pengarang.

Jika mahu memulakan sejarah manusia lain, jadilah wartawan kerana nama anda diingati sepanjang masa. Jadi wartawan yang benar bukan yang omong-kosong.

Percayalah, seronok menjadi wartawan kerana anda dikelilingi orang terkenal sehingga pengemis di tepi jalan.

Namun sekali lagi, setiap pekerjaan itu harus disertakan dengan perasaan cinta.

Bakarkan perasaan untuk menulis seolah-olah anda jatuh cinta dengan seseorang dan yakinlah, sepanjang hari anda seronok untuk menulis. Ingat juga, kerja di dada akhbar tanggungjawabnya besar.

Perkara yang wartawan tulis merupakan kebenaran bagi orang luar.

Pada pena anda, diletak masa depan orang ternama. Salah tulis anda dapat menjatuhkan seorang menteri jadi pada kedana, seorang pengemis menjadi kaya.

Jadi jika anda hari ini sebahagian daripada wartawan, hargai kerjaya anda.

Belajar menulis dengan lebih baik, belajar daripada kesilapan setiap hari. Jangan mengulangi kesilapan.

Jadi kakitangan media, kita tidak boleh duduk stastik, setiap hari perlukan perubahan.

Jika hari ini anda seorang wartawan biasa, satu hari kelak mana tahu anda menjadi tersohor sehingga mampu menakluk dunia.

Jadilah wartawan yang sentiasa ikhlas dengan kerja, yang sentiasa jatuh hati penulisan dan sentiasa mahu berubah.

Dalam apa-apa kerjaya pun, semua memerlukan keikhlasan dan kesukaan terhadap kerja.

Itu penanda aras untuk berjaya!

LAIN-LAIN BERITA

Tidak ada duit ketika jadi ahli parlimen

MENJADI ahli parlimen pada usia 26 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan bagi dirinya. Sejak di universiti memang beliau memasang impian untuk memasuki politik, namun beliau

Cara indah hargai orang

KETIKA lepak santai-santai sambil minum teh panas di sebuah kedai makan, perbualan kami lepasan sekolah menengah di Kuching rancak tentang kejadian banjir kilat melanda Kuching,

Sarawak dahului inisiatif tenaga hijau

DALAM usaha untuk mengejar kelestarian alam dan kemajuan ekonomi, inisiatif tenaga hijau telah menjadi fokus utama bagi banyak negara. Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk

Impak medsos dalam Pilpres 2024

PASANGAN Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka terus unggul dalam kiraan sebenar (real count) bagi keputusan Pemilihan Presiden (Pilpres) 2024 oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU). Menurut media

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

BERITA TERBARU