26 daerah berstatus merah, tiga kluster baharu diisytiharkan hari ini

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengisytiharkan tiga kluster baharu iaitu kluster Kampung Hilir Beladin, Pusa, Kluster Jalan Limbang, Miri, dan Kluster Penurin, Betong.

Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) menyatakan bahawa dua kluster yang telah tamat ialah kluster Gelong, Kapit dan kluster Jalan Gridbid, Miri setelah tiada kes baru dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas.

“Jumlah kluster yang masih aktif ialah sebanyak 77 kluster namun sebanyak 15 kluster telah merekodkan 134 penambahan kes baru. Manakala, 62 kluster tidak merekodkan penambahan kes,” katanya.

Sementara itu, Daerah Pusa telah bertukar status ke merah daripada status kuning selepas merekodkan 46 kes jangkitan dalam tempoh 14 hari.

Selain itu, Daerah Betong juga telah bertukar ke status merah daripada jingga selepas mencatatkan 58 kes dalam tempoh 14 hari. Ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah meningkat kepada 26 daerah.

Manakala, Daerah Matu telah kembali ke status kuning daripada jingga selepas merekodkan hanya 20 kes jangkitan. Jumlah daerah berstatus kuning sebanyak 12 daerah.

Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) di dua buah rumah panjang iaitu Rh Luyoh dan Rh Unjan, Nanga Lungo, Julau bermula 7 Mei sehingga 20 Mei ini.

Tempoh pelanjutan PKPD di Rh Mut, Nanga Maong, Sungai Mujok, Julau pula dilanjutkan dari 10 Mei sehingga 16 Mei ini. Manakala, Rh Empeni Budom, Lubok Putan, Bintanggor dilanjutkan dari 10 Mei sehingga 23 Mei depan.

Suara Sarawak