264 atlet dan pegawai divaksin

SERAMAI 264 atlet dan pegawai yang terlibat dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020, bakal menerima dos pertama vaksin Covid-19 hari ini (Selasa) sebagai persiapan ke temasya berkenaan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan semalam memaklumkan suntikan vaksin berkenaan akan dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut dijadualkan menerima suntikan vaksin bersama-sama atlet berkenaan.

“Aspek persiapan ke Tokyo merangkumi pemberian vaksin kepada atlet dan pegawai yang terlibat serta program yang diatur khas bagi menyemarakkan lagi semangat menghadapi temasya ulung yang diterajui oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Reezal Merican juga dijangka melancarkan ‘countdown’ Detik 100 Hari ke Tokyo 2020, Rabu ini di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil bagi membangkitkan semangat atlet dan mendapat sokongan masyarakat menerusi Program Jelajah Road to Tokyo 2020 yang digerakkan ke seluruh negara.

….Untuk berita selanjutnya dapatkan naskhah Suara Sarawak 13 Apr 2021

Suara Sarawak