SIBU: Taktik sebuah kapal membawa 27 buah kontena untuk menyeludup rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai lebih RM13 juta tumpas selepas diperiksa ketika bertambat di tebingan Sungai Rajang belakang sebuah syarikat Jalan Teng Kung Suk 4, Selasa lalu.
Serbuan pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu sekitar jam 8.15 pagi.
Pengarah JKDM Sarawak Herman Abdullah berkata, hasil serbuan telah menahan lima individu lelaki yang terdiri daripada empat warga asing dan seorang warga tempatan berusia 20 hingga 50 tahun.
“Anggaran barangan yan dirampas termasuk merangkumi minuman keras iaitu sebanyak 361,134 liter bir, 8,395.2 liter stout, 142.8 liter wiski, manakala rokok terdiri daripada 8,800,000 batamg rokok putih dan 8,052,000 batamg kretek.
“Kesemua nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2,547,858.69 dan jumlah duti cukai dianggarkan berjumlah RM13,388,684.38,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dedahnya, modus operandi kelima-lima Orang Yang Disyaki (OYDS) cuba memindahkan barangan tidak berkastam itu selepas berjaya dibawa masuk dari negara luar ke Sarawak.
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati kapal terbabit telah masuk melalui muara Sungai Rajang untuk ke perairan Sibu bagi tujuan mengangkat masuk kontena dan mengedarkan barangan yang dibawa ke seluruh Sarawak.
Ujarnya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barangan larangan import tanpa permit yang sah serta terlibat dalam mengangkut dan memindah barangan tidak berkastam atau larangan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari sepuluh (10) kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000 mengikut manamana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.