KUCHING: Seluas 2,760 hektar ladang buluh komersial dan 59 hektar ladang komuniti telah dibangunkan di seluruh negeri setakat ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, ia bertujuan bagi menampung kelestarian bekalan sumber untuk industri buluh Sarawak.
Melihat kepada Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan sekitar 10,000 hektar ladang buluh komersial dan 1,640 hektar ladang komuniti.
“Menerusi strategi ini, kita yakin Sarawak mampu menjadi hab pembangunan industri buluh yang berjaya di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Penubuhan Ladang Buluh Secara Komersial antara Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) dengan Rich Venture Plantation di Hotel Grand Margherita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Abang Johari mendedahkan bahawa Sarawak memiliki ekosistem yang baik untuk penanaman buluh.
“Sekarang, kita hanya memerlukan pelan induk yang betul, selain mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan itu,” ujarnya ringkas.
