
KUCHING: Sebanyak 286 kawasan di Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan titik panas berlaku banjir berdasarkan penilaian risiko dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Pengarahnya Datuk Khirudin Drahman berkata, sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) pihaknya mengesan 87 titik panas banjir di Sibu dan 52 kawasan di Miri.
Beliau berkata, 47 kawasan di Kuching dikesan sebagai kawasan titik panas banjir, diikuti 43 kawasan di Samarahan.
Sementara katanya, sebanyak 31 kawasan titik panas banjir di Sri Aman, 10 di Bintulu dan 20 di Limbang.
“Bomba Sarawak juga mengesan 97 lokasi jalan mudah putus di Sarawak, ia membabitkan 13 di Kuching, tujuh di Samarahan, 16 di Sri Aman, 42 di Sibu, tujuh di Bintulu, dua di Miri dan 10 di Limbang.
“Sementara, 77 kawasan lokasi tanah runtuh di Sarawak membabitkan tujuh di Kuching, enam di Samarahan, 19 di Sri Aman, 32 di Sibu, satu di Bintulu, empat di Miri dan lapan di Limbang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam menghadapi musim MTL, beliau berkata, seramai 1,567 pegawai dan anggota bomba terdiri daripada Pegawai Bomba Sepenuh Masa (PSM) dan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bersiap sedia bertugas sepanjang MTL.
Selain itu katanya, seramai 2,471 Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS), 9,446 ahli Pasukan Bomba Komuniti, 10,210 ahli CERT dan 799 ahli Summer Camp SSGP turut sedia membantu.