KUCHING: Seramai 289,200 orang remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak akan mula menerima vaksin secara berperingkat bermula hari ini sehingga hujung minggu ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peringkat awal program imunisasi remaja ini akan menyasarkan dua kumpulan iaitu berusia 12 hingga 15 tahun yang berkomorbid dan berusia 16 hingga 17 tahun.
Manakala, katanya pemberian vaksin untuk remaja 12 hingga 15 yang sihat dijadualkan bermula pada penghujung September mengikut bekalan stok vaksin yang akan diterima.
“Pemberian suntikan vaksin kepada kumpulan remaja ini akan dijalankan serentak bagi enam bahagian iaitu Kuching, Sri Aman, Serian, Sarikei, Sibu dan Bintulu,” katanya pada dalam sidang media selepas meninjau proses suntikan vaksin kepada pelajar SMK Sri Matang di Klinik Kesihatan Telaga Air, hari ini.
Menurut Abang Johari, populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun adalah merangkumi 10.3 peratus daripada keseluruhan populasi di Sarawak.
Katanya daripada jumlah itu, 96,400 orang (3.4 peratus populasi Sarawak) adalah yang berusia 16 hingga 17 tahun dan 192,800 orang (6.9 peratus) adalah berusia 12 hingga 15 tahun.
Sementara, Abang Johari berkata program imunisasi bagi golongan remaja ini akan dilaksanakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam, sekolah-sekolah dan klinik-klinik kesihatan yang telah dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Bahagian dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian.
“Klinik kesihatan akan memberikan perkhidmatan imunisasi kepada pelajar asrama yang masih berada di kampung termasuk remaja yang tidak lagi bersekolah.
“Janji temu akan dilakukan mengikut sekolah dan setiap PPV akan menerima pelajar daripada beberapa buah sekolah setiap hari,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata di Kuching sahaja, seramai 20,990 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun daripada 69 buah sekolah akan menerima vaksin.
Manakala bagi kawasan luar bandar, Abang Johari berkata Program Outreach Imunisasi Covid-19 Jabatan Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Bahagian akan ke sekolah yang terlibat untuk memberikan imunisasi kepada pelajar berusia 12 hingga 17 tahun.
“Ia meliputi terutamanya di Kapit melibatkan 16 buah sekolah meliputi 9,334 orang serta Miri yang melibatkan dua buah sekolah meliputi 207 orang,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata Jabatan Pendidikan Negeri juga telah dilatih untuk mengendalikan sistem pengurusan pemberian Imunisasi Covid-19 Murid Sekolah pada 7 September lalu.
“Melalui kolaborasi dengan pihak sekolah, kita menyasarkan remaja berumur 16 hingga 17 tahun akan lengkap divaksin sebelum sesi sekolah bermula pada 3 Oktober ini.
“Bagi remaja yang berumur 12 hingga 15 tahun, kita menyasarkan mereka ini akan lengkap divaksin pada minggu keempat Oktober iaitu bagi tempoh 22 hingga 26 Oktober ini,” katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Adun Pantai Damai Datuk Abdul Rahman Junaidi dan Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.