290,567 saman dikeluarkan di seluruh negara sehingga semalam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 290,567 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara sepanjang 11 hari Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina sejak 18 Jan lepas sehingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Dr Bakri Zainal Abidin berkata berkata kebanyakan saman yang dikeluarkan meliputi kesalahan memandu melebihi had laju dengan mencatatkan 57 peratus daripada jumlah keseluruhan saman.

Beliau berkata ini menunjukkan sikap pengguna jalan raya masih tidak berubah walaupun terdapat pertambahan kenderaan di atas jalan raya.

“Dalam data kami, mendapati faktor memandu melebihi had laju adalah punca utama kemalangan jalan raya. Kalau kita lihat kebanyakan kenderaan yang terbabas adalah disebabkan memandu laju dan bukannya sebab faktor lain,” katanya ketika hadir menjadi tetamu program Bernama Radio, di sini, hari ini.

Bakri berkata jumlah kemalangan pada Op Selamat kali ini mencatatkan peningkatan sebanyak 10 peratus iaitu 16,940 kemalangan dalam tempoh 11 hari berbanding tempoh sama dalam op tahun lepas iaitu 15,464 kemalangan.

“Kami mendapati kumpulan penunggang motosikal masih lagi menjadi penyumbang tertinggi kemalangan pada op selamat kali ini,” katanya.

Suara Sarawak