KUALA LUMPUR: Sebanyak 297 serbuan ke atas pusat perjudian tidak berlesen telah dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di daerah Sibu, Sarawak sejak 2018 hingga 31 Mei lepas.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata berdasarkan statistik PDRM, ia menyaksikan 439 orang telah ditangkap manakala 72 unit mesin perjudian dan wang tunai RM95,024 turut dirampas.
“PDRM akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan untuk membanteras sindiket perjudian tidak berlesen sehingga membawa penutupan kepada premis perjudian itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang ingin tahu tindakan diambil kementerian untuk membanteras aktiviti perjudian mesin kuda, judi dalam talian dan 4D haram di Sibu.
Kepada soalan tambahan Lau mengenai dakwaan polis berpakat dengan sindiket perjudian di Sibu, Muhyiddin berkata jika dakwaan itu benar, ia adalah sesuatu yang serius.
“Saya sendiri tidak akan mengizinkan hal itu berlaku. Kita tidak akan melindungi mereka dan tindakan tegas bakal diambil kepada sesiapa terbabit sekiranya ada bukti yang benar,” katanya. – Bernama