MUKAH: Biarpun sudah penghujung bulan Syawal, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah tetap meraikan Hari Gawai-Raya bersama-sama kakitangannya dalam suasana sederhana.
Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah, Salihin Den berkata, beberapa aktiviti dirancang dan dijalankan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Antaranya kita menggalakkan kakitangan berpakaian tradisional dan pembahagian bubur lambuk. “Malah untuk sambutan kali ini, ia hanya disambut secara tertutup melibatkan kakitangan KPDNHEP Mukah sahaja,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak kelmarin.
Sebanyak 30 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada semua kakitangan, termasuk rakan-rakan media.
“Lagipun, kita masih lagi dalam bulan Syawal dan kekangan untuk kita mengadakan program sebegini sebelum ini adalah disebabkan masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac hingga kini.
“Setelah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenal, beberapa peraturan telah dilonggarkan, namun tetap mematuhi SOP,” ujarnya.