KUCHING: Daerah Dalat dan Saratok hari ini bertukar ke status merah setelah merekodkan lebih daripada 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, ini menjadikan jumlah daerah yang berstatus merah di Sarawak meningkat kepada 30 daerah.
Bagaimanapun hari ini kata JPBN, daerah Sebauh telah kembali ke status jingga daripada status merah selepas merekodkan sejumlah 39 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
“Justeru itu, jumlah daerah yang berstatus jingga telah meningkat kepada tiga daerah,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.
Tambah JPBN, daerah Lawas hari ini juga telah kembali ke status kuning daripada status jingga selepas merekodkan sejumlah 12 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
“Ini menjadikan jumlah daerah yang berstatus kuning meningkat kepada enam daerah.
“Manakala, bagi daerah yang kekal berstatus hijau, ia hanya melibatkan daerah Telang Usan,”katanya.
Dalam pada itu, setakat hari ini juga JPBN telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat kawasan.
Menurut JPBN, PKPD melibatkan rumah panjang adalah Rumah Jerry Lai Kampung Siga, Sri Aman yang berkuat kuasa 2 hingga 15 Jun ini dan Rumah Sigah anak Lak Sg Baoh Burak, Dalat bermula dari 5 hingga 18 Jun ini.
“Bagi Kampung Jaie, Asajaya, PKPD akan berkuat kuasa pada 3 hingga 16 Jun ini manakala Kampung Empila, Samarahan akan berkuat kuasa pada 4 hingga 17 Jun ini,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, JPBN turut memutuskan untuk melanjutkan PKPD bagi Rumah Ajing Selepong Lop dan Rumah Aji Sunga Ban, Sri Aman bermula 2 hingga 15 Jun ini manakala Rumah Keli, Sg Minus, Sarikei akan dilanjutkan bermula 7 hingga 10 Jun ini.
Sehubungan itu, JPBN memaklumkan terdapat lapan kawasan yang diisytiharkan tamat PKPD hari ini.