300 ekar hutan berhampiran Kampung Sedi terbakar

TANJUNG MANIS: Bomba mengambil masa kira –kira 36 jam untuk memadam kebakaran hutan dan belukar membabitkan kawasan seluas lebih 300 ekar di Kampung Sedi, di sini, sejak tiga hari lalu.

Pemangku Ketua Balai Bomba Tanjung Manis, Majedi Tinggal berkata, pasukannya dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.52 petang 7 Ogos lalu dan operasi dilakukan secara bergilir-gilir

“Kita berdepan masalah kekurangan air dan jarak sumbernya terlalu jauh. Api merebak pantas berikutan angin terlalu kencang dan sentiasa berubah-ubah. Keluasan kawasan itu juga besar jika dibandingkan dengan sumber bekalan air yang kita gunakan.

“Setakat ini, seramai 18 anggota yang terlibat dengan dibantu oleh penduduk kampung dan pasukan Bomba Sukarela Pulau Bruit,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Beliau memberitahu, lokasi kebakaran terletak berhampiran jalan raya namun merebak pantas lebih 300 meter ke dalam hutan tebal.

Keadaan kebakaran hutan dan belukar di Kampung Sedi

“Operasi ditangguhkan semalam dan diteruskan hari ini. Setakat ini, kita menggunakan bantuan tangki air dari Balai Bomba Sungai Merah,” katanya.

Beliau memberitahu, pasukannya juga mengalami sedikit kesukaran memasuki kawasan yang terbakar selain perlu berhati-hati dengan keadaan di persekitarannya.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai tidak membuang sampah sarap di kawasan ini selain mengelak melakukan pembakaran secara terbuka,” katanya.