KUCHING: Sarawak telah menganjurkan Karnival Gimnastik Estetik Berkumpulan (AGG) Sarawak 2026 dan Siri Kebangsaan 1 Persatuan Gimnastik Estetik Berkumpulan Malaysia (MAGGA) pada 25 hingga 26 April lalu.
Sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam pertumbuhan sukan tersebut di seluruh Malaysia.
Acara dua hari yang berlangsung di Dewan Sa’ati, Ibu Pejabat SUPP itu menghimpunkan kira-kira 300 gimnas dan delegasi dari seluruh negara.
Dianjurkan oleh Persatuan Gimnastik Estetik Berkumpulan Sarawak (SAGGA) dengan kerjasama MAGGA, karnival tersebut mempamerkan pembangunan peringkat akar umbi serta pertandingan peringkat kebangsaan.
Hari pertama saingan menampilkan Gred Individu Pembangunan AGG Kebangsaan (NAD) dan Pertandingan Kumpulan NAD, diikuti majlis penyampaian hadiah.
Pihak penganjur mencatatkan rekod penyertaan dalam segmen gred individu, di samping peningkatan ketara penyertaan daripada pasukan berpangkalan di Sarawak dalam kategori berkumpulan.
Hari kedua lebih memfokuskan kepada Pertandingan Kumpulan NAD Siri Kebangsaan 1 MAGGA dan Pertandingan Program IFAGG (Peraturan Antarabangsa).
Ia disusuli dengan majlis penyampaian hadiah dan bengkel latihan AGG yang dikendalikan oleh Pasukan Remaja Malaysia dan Pasukan Remaja Campuran Malaysia, yang menawarkan pendedahan teknikal yang berharga kepada para peserta.
Acara tersebut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Puan Kho Teck Wan mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Hadir sama wakil MAGGA, termasuk Setiausaha Agung, Cik Sarah Sarraj.
Pasukan dari seluruh Malaysia bertanding, dengan penyertaan yang memberangsangkan dari Semenanjung dan Sarawak.
Kelab tempatan seperti Mine Dance Studio, Spade Rhythm AGG Club serta Track and Dance memberikan persembahan yang mengagumkan dengan merangkul kedudukan teratas dalam beberapa kategori.
Gimnas Sarawak mencapai kejayaan membanggakan termasuk tempat pertama dalam kategori Kinder dan Tahap 2, serta menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertandingan program pendek IFAGG.
Penyertaan pasukan Remaja Malaysia dan pasukan Remaja Campuran Malaysia menambah prestij kepada acara tersebut ketika mereka sedang meneruskan persiapan untuk Kejohanan Asia IFAGG yang akan datang di Astana, Kazakhstan pada Jun depan.
Ketika berucap pada majlis tersebut, Kho Teck Wan menekankan kepentingan karnival berkenaan dalam membina pengalaman kompetitif bagi gimnas Sarawak sambil mengalu-alukan atlet dari seluruh negara.
Beliau memuji usaha SAGGA dan berjanji akan terus memberikan sokongan untuk penganjuran acara akan datang di Dewan Sa’ati.
MAGGA menyifatkan pertandingan tersebut sebagai “dua hari yang berjaya mencetus keterujaan” sambil memuji dedikasi atlet, jurulatih dan penganjur.
Selain pertandingan, karnival tersebut turut menekankan peranan Sarawak yang semakin berkembang sebagai destinasi pelancongan sukan.
Para pengunjung berpeluang merasai warisan budaya dan alam semula jadi wilayah berkenaan, termasuk tarikan seperti Muzium Budaya Borneo dan hutan hujan purba Sarawak.
SAGGA merakamkan penghargaan kepada penaja termasuk MILO Malaysia, Cotra Enterprises, J-Eleven Cleaning Services dan RK Nasi Lemak serta pihak lain.
Ditubuhkan pada 2019, SAGGA terus memperjuangkan program akar umbi yang inklusif dan laluan atlet yang tersusun bagi memastikan setiap anak Sarawak mempunyai akses kepada pembangunan sukan artistik.
Kejayaan penganjuran Karnival AGG dan Siri Kebangsaan ini mencerminkan komitmen Sarawak dalam memupuk bakat, mempromosikan pelancongan sukan dan mempertingkatkan kehadiran Malaysia dalam arena gimnastik antarabangsa.



