BINTULU: Yayasan Petronas dan Petronas Carigali Sdn Bhd semalam menyumbang bekalan makanan keperluan kepada 300 keluarga kurang berkemampuan di Miri dan Bintulu sempena sambutan Gawai Dayak yang akan datang.
Sumbangan tersebut dilaksanakan di bawah program Memacu Kehidupan: Hari Gawai Dayak 2023 dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Setiap keluarga menerima barangan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, garam, sardin, teh, Milo, kacang tanah mentah, beras, kicap manis, kicap, kopi dan hamper biskut perayaan.
Selain itu, penerima turut menerima kad hadiah Mesra Petronas bernilai RM20 setiap satu yang boleh digunakan untuk membeli barangan makanan keperluan atau petrol di mana-mana stesen Petronas di Bintulu dan Miri.
Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak Asset, Anuar Ismail berkata, program itu bertujuan membantu keluarga yang meraikan Gawai Dayak.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu membawa kegembiraan kepada keluarga ini ketika mereka bersiap sedia untuk sambutan Gawai Dayak akan datang.
“Kolaborasi dan kerjasama antara agensi kerajaan sepanjang pengurusan aktiviti CSR membuktikan bahawa matlamat kita adalah sama iaitu memperkasakan kehidupan pelbagai lapisan masyarakat menerusi program bantuan yang yang diolah khusus untuk keperluan masyarakat di Bintulu dan kawasan persekitaran lain,” katanya pada program Memacu Kehidupan: Hari Gawai Dayak 2023 Petronas Carigali Sdn Bhd di The Peak Ballroom, Fairfield by Marriot Bintulu Paragon.
Inisiatif memacu kehidupan bertujuan menyediakan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan semasa perayaan utama di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Residen Bintulu, Abang Zainudin Abang Turkey menyambut baik usaha dilaksanakan syarikat korporat itu dalam usaha menjadikan kebajikan sebagai tanggungjawab bersama supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.