3,000 nelayan Sarawak dibantu

KUCHING: Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (Penesa) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sedia membeli lebihan tangkapan para nelayan di negeri ini. Menteri Muda Pertanian Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan mereka menerima laporan ramai nelayan menghadapi masalah untuk menjual hasil tangkapan.

“Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan, Penesa dan PNK untuk membeli lebihan tangkapan yang diperolehi oleh nelayan,” ujarnya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Pasar Nelayan Vista Tunku, Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (Penesa), Petra Jaya di sini kelmarin.

Tambahnya, dengan cara tersebut Penesa dan PNK dapat menjual semula hasil laut dan pendapatan para nelayan juga tidak terjejas.

“Kerajaan Sarawak juga memberi peruntukan khas berbentuk subsidi kepada Penesa dan PNK. “Terdapat 18 PNK di seluruh Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM30,000.

“Manakala Penesa menerima RM60,000. Keseluruhan peruntukan tersebut adalah RM600,000. “Namun ini tidak bermakna nelayan mesti menjual hasil tangkapan kepada PNK atau Penesa, mereka juga boleh menjual kepada orang ramai.

“Bagaimanapun, sekiranya ada lebihan tangkapan, Penesa dan PNK akan akan mengambil inisiatif untuk membeli hasil tangkapan itu. Setakat ini, sambutan daripada nelayan terhadap usaha ini amat baik,” ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan, pihaknya mahu aktiviti menangkap ikan diteruskan kerana ia adalah perkhidmatan penting. Menurutnya, Penesa dan PNK sendiri akan pergi ke tempat pengumpulan ikan untuk mendapatkan hasil lebihan tangkapan.

“Saya berharap para nelayan dapat menghubungi PNK dan Penesa di kawasan masingmasing supaya urusan jual beli dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 3,000 nelayan pantai yang berdaftar dengan LKIM di Sarawak.